Selasa, 27 Oktober 2009

Tragedi Pos Dipang Berulang Kembali.....

KAMPAR 27 Okt. - Kementerian Pelajaran menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat punca kejadian jambatan gantung yang digunakan di pusat kokurikulum daerah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang di sini runtuh malam tadi.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasukan berkenaan akan diketuai oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kerajaan negeri.
Katanya, siasatan akan melibatkan aspek teknikal berkaitan spesifikasi jambatan berkenaan yang runtuh secara tiba-tiba.
''Pasukan ini akan siasat secara terperinci dalam tempoh yang tidak berapa lama. Kemudian mereka akan sampaikan laporan lengkap kepada saya bagi mengetahui fakta sebenar kejadian berlaku.
''Kita akan bagi tempoh masa yang sesuai supaya (siasatan ini) lengkap dan terperinci," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat kawasan kejadian jambatan gantung runtuh di SK Kuala Dipang dekat sini hari ini.
Turut melawat ialah isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Kong Cho Ha.
Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya dimaklumkan jambatan gantung berkenaan baru dibina atas sumbangan sebuah syarikat yang kos pembinaannya masih belum diketahui.
Jelas beliau, walaupun dibina atas dasar sumbangan, pihak kementerian tetap mahu memastikan sama ada ia mengikut spesifikasi yang ditetapkan atau tidak.
''Jadi soal kos dan persoalan mengenai spesifikasi jambatan gantung yang runtuh ini akan terjawab dalam laporan siasatan berkenaan.
''Di peringkat awal ini, jambatan gantung itu memang dibina atas sumbangan sebuah syarikat. Tentang sama ada kerja-kerja pembinaannya dilakukan ada pengawasan atau tidak belum ada maklumat tepat," katanya.
Pasukan penyiasat itu juga tegas beliau, akan menentukan sama ada guru-guru bertugas menjalankan pengawasan secukupnya selain jumlah sebenar murid-murid yang terjatuh ke dalam Sungai Kampar.
Katanya, siasatan akan turut menentukan sejauh mana dakwaan murid-murid bertindak menggoyang-goyangkan jambatan berkenaan sebelum runtuh adalah benar.
Sementara itu, Shaziman ketika ditemui berkata, beliau belum dapat memberi sebarang ulasan mengenai kejadian berkenaan kerana masih menunggu maklumat lanjut daripada JKR.
Alimuddin pula menegaskan, pihaknya akan menjalankan siasatan kes tersebut secara terperinci dan akan berusaha menyiapkannya seberapa segera yang mungkin.
Merujuk kenyataan akhbar ini, kita tersentak sekali lagi dengan berita yang amat sedih lagi memilukan. Apa yang sebenarnya terjadi adalah ketentuan illahi. Sebagai manusia kita hanya mampu merancang dan tuhan yang menentukan. Jangan saling menunding jari tapi kita cari jalan penyelesaian yang terbaik dan kolektif. Apa pun tahniah kepada semua yang sama-sama terpanggil menghulur bantuan dalam menangani isu ini. Berfikir untuk mencari penyelesaian adalah lebih baik dari menjatuhkan hukuman siapa yang benr dan siapa salah. Oleh itu kita perlu senantiasa berfikiran rasional dan bukannya skpetik tak tentu hala.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan