Rabu, 6 Mei 2009

Guru oh Guru

Tanggal 16 Mei yang akan muncul tidak lama lagi akan menjadi satu sejarah bagi semua warga pendidik di negara kita. Pelbagai isu yang timbul serta mewarnai dunia pendidikan Malaysia mengingatkan aku pada saat mula aku menjejakkan kaki di institut pendidikan di Batu Pahat. Teringat aku akan kata-kata senior semasa minggu pengurusan, kerjaya sebagai guru amat berat untuk di galas oleh semua warga pendidik. Mulanya aku tersenyum dengan kata yang terluah dan lantas aku membuat justifikasi bahawa dia menjadikan guru sebagai pilihan terakhir setelah gagal menjawat jawatan lain. Awalnya aku meletakkan kerjaya ini sebagai mudah, masuk kerja jam 7.30 pagi balik 1.15 petang. Relaks dan santai. Rupanya langit tidak selalu cerah dan malam yang indah tidak berpanjangan. Menjelang tahun 2000 dunia pendidikan tersepit dengan pelbagai reformasi yang pada tanggapan aku jauh menyimpang dari matlamat asalnya mendidik dan memimpin anak bangsa. Mengapa ini berlaku? Pelbagai pembaharuan dilaksanakan oleh golongan peneraju pendidikan negara dengan idea-idea yang dibayangi oleh kepentingan peribadi telah menjadikan dunia pendidikan haru-biru dan lintang pukang. Perlaksanaan KBSR dan menggantikan sistem pendidikan lamu menjadukan generasi pelajar yang kurang hormat kepada insan guru, ditambah lagi dengan perlaksanaan PPSMI yang mengundang sejuta konflik sama ada bagi golongan guru malah masyarakat amnya. Aku menganggap golongan pendidik seperti bahan ujikaji yang diguna pakai untuk menguji satu idea dan teori yang secara tidak langsung golongan pendidik sebagai bahan bakar kepada permasalahan pendidikan masa kini. Tanggal 16 Mei ini, bersesuaian dengan temanya Guru Pembentuk Negara Bangsa ( kalau tak silap ) mungkin menjadi satu wacana ilmu yang dapat pengangkat martabat guru di persada dunia pendidikan serta pembentuk insan yang terbilang pada masa depan. Pak Menteri yang baru seakan mempunyai satu suntikan ajaib yang dapat menyelesaikan permasalahan pendidikan negara khususnya dalam PPSMI. Harap begitulah. Walau apapun aku amat bersyukur menjadi seorang guru walaupun sumbangan yang diberi tidak seperti mana. Akhir kata Selamat Hari Guru buat semua rakan dan guru-guru yang telah banyak berjasa kepada seluruh insan guru. Tak lupa juga kepada mereka yang telah pergi semoga jasa kalian diberkati olehNya. Amin!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan